Thursday, October 5, 2017

Cerpen 2 - Kisah Sedihku

       Setiap jasad yang bernyawa di muka bumi ini pasti ada coretan hidup tersendiri dan aku tidak terkecuali. Ada yang cerita hidupnya bahagia, dan ada yang cerita hidupnya dalam kecelaruan. Namun, kisah sedih sudah pasti menjadi pengalaman untuk setiap individu termasuk diriku. Sedang aku meneruskan dan menyusun atur kehidupanku, kisah silamku yang pahit masih lagi terpahat dalam diriku ini masih segar dalam ingatan walaupun hampir berlaku 3 tahun yang lalu.

       Kisahnya bermula apabila aku pada ketika itu berumur 17 tahun dan masih mentah untuk melangkah masuk ke alam kesedihan. Pada mulanya, hidupku berjalan seperti biasa dan aku menjalani rutin harian yang hampir sama setiap hari. Sehinggalah tiba detik-detik yang mampu mengubah rutin kehidupanku seumur hidup. Di sekolah, aku seorang yang agak disenangi oleh pelajar-pelajar dan tidak terkecuali juga di kalangan guru-guru. Aku seorang yang peramah, rajin, bijak berbicara dan seorang yang berdisiplin. Pencapaian akedemik dan kokurikulumku seimbang dan memberansangkan. Aku bukanlah seorang yang cerdik, konsisten dan aktif dalam bidang sukan namun aku cuba mengimbang kedua-dua akedemik dan kokurikulum. Setiap kali ujian dan peperiksaan, aku cuba mendapatkan keputusan yang cemerlang dan setiap kali aktiviti dan anjuran kokurikulum aku sertai. Namun, segalanya berubah serta merta apabila aku mula meminati pada seorang gadis yang sangat manis dan menawan bernama Sarah. Pada mulanya, aku dan Sarah hanya berkawan biasa ketika kami membuat perbincangan berkumpulan namun lama kelamaannya kami mulai rapat dan cinta kami berputik. Kami sering berhubung di sekolah mahupun di rumah masing-masing. Namun, percintaan aku dan Sarah masih lagi berpegang pada batasan-batasan yang dilarang oleh agama. Kami tidak pernah berdua-duaan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya dan kami tidak pernah bersentuhan. Malah, perbualan kami seperti biasa, tiada ayat-ayat yang menggugat iman digunakan dan tiada nama panggilan yang manis seperti pasangan-pasangan lain gunakan. Percintaan kami diibaratkan seperti pasangan yang bukan dalam percintaan. Kami bertutur seperti rakan biasa dan memanggil diri masing-masing hanya menggunakan perkataan 'kau, aku'. Bagiku dan baginya, percintaan kami sangat sempurna dan kami dapat menonjolkan diri kami yang sepenuhnya, bukan seperti pasangan-pasangan yang lain yang bercinta atas dasar-dasar kepentingan masing-masing dan sanggup menyelindungi potensi diri masing-masing dengan bertopengkan kata-kata manis dan tingkah laku yang kononnya romantis.

       Tetapi, lebih kurang 4 bulan kami bercinta, prestasi akedemik dan kokurikulum kian merosot hari demi hari. Begitu juga Sarah. Prestasi kami mula dibimbangi oleh guru-guru kelas kami dan kami berdua dipanggil oleh pihak kaunseling atas aduan yang ditujukan kepada mereka. Pihak kaunseling menceritakan kepada kami tentang kemerosotan pencapaian kami dibimbangi okeh guru-guru kerana tidak lama lagi kami akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka memberi khidmat kaunseling kepada kami dengan baik sekali. Mereka tidak menyalahi percintaan kami, kerana kami menceritakan kepada mereka bagaimana percintaan kami sebenarnya. Mereka hanya memberi langkah-langkah yang terbaik untuk mengimbangkan antara percintaan kami dengan pelajaran. Kami akur dengan langkah yang diberi dan prestasi kami mula meningkat kembali dan agak konsisten. Pencapaian Percubaan SPM kami sangat memberansangkan sehinggakan kami menjadi salah satu pelajar harapan sekolah untuk memberi pencapaian cemerlang semasa menduduki SPM kelak. Kami kurang berhubung selepas itu atas sebab memberi tumpuan yang penuh pada pelajaran. Kami mencuba sedaya upaya pada hari pertama peperiksaan sehingga hari terakhir. Setelah habis sahaja kertas peperiksaan yang terakhir, kami mula berasa bebas juga diikuti oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain. Kami semua meraikan hari tersebut dengan menjamu selera di Pizza Hut berdekatan. Hari tersebut bagaikan hari terakhir kami tersiksa dalam seumur hidup kami, walhal, tanpa disedari ianya hanya permulaan kehidupan yang sebenar.

       Aku mula bekerja di Pusat Beli-Belah berdekatan di kawasan perumahanku. Sarah juga bekerja di tempat yang sama tetapi berlaian syarikat. Setiap kali kami mempunyai waktu rehat yang sama, kami akan berehat bersama. Waktu pulang juga, aku sering menghantar Sarah pulang ke rumahnya setiap hari dengan menggunakan keretaku yang diberi oleh ibuku untuk sementara. Kami mengulangi rutin yang sama setiap hari yang pada mulanya kami mengeluh akan kepenatan dan kesengsaraan bekerja yang tidak pernah kami alami sebelum ini dan lama kelamaan ianya bagai alah bisa tegal biasa. Ianya menjadi sesuatu yang normal bagi kami dan kami tidak merungut lagi.

       Namun, di sinilah bermulanya detik hitam yang sangat pahit dalam hidupku berlaku. Pada hari biasa yang kami sering hadapi, ketika aku hendak menghantar Sarah pulang, mataku mula berasa berat dengan serta merta. Mungkin aku menghadapi kepenatan yang lebih berbanding hari-hari yang lain yang menyebabkan badanku sangat lemah di ketika itu. Aku mula memberitahu Sarah tentang perkara itu dan Sarah menyuruh aku menghentikan kereta di tepi sebentar untuk berehat, namun, aku berkeras untuk meneruskan perjalanan menghantarnya pulang. Apakan daya, malang tidak berbau pada malam itu. Sedang dalam perjalanan menghantar Sarah pulang, badanku bagai tidak bermaya lagi, dengan serta merta, badanku rebah dan aku hilang konsentrasi dan akhirnya aku pitam tanpa ku pinta. Keretaku terhuyung-hayang dan melanggar masuk ke jalan sebelah membuatkan keretaku melanggar kereta yang bertentangan dengan keretaku. Keretaku berpusing bagai gasing dan menghentam pembahagi jalan konkrit sehinggakan memberi hentakan yang kuat terutama sekali pada bahagia kerusi penumpang hadapan. Aku yang tidak menyedarkan diri mula mendapatkan kembali visi yang samar-samar apabila mataku betul-betul bertentangan dengan Sarah yang berlumuran darah di kepalanya dan tidak menyedarkan diri. Aku mencuba sedaya upayaku untuk menghampiri Sarah namun aku tidak sekuat yang aku sangkakan. Aku kembali rebah dan kami dikejarkan ke hospital berdekatan atas tindakan orang ramai yang menjadi saksi kemalangan kami dan membuat panggilan kecemasan dengan segera.

       Keadaanku tidak begitu kritikal namun sebalikknya berlaku terhadap Sarah. Sarah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi atau dikenali sebagai wad ICU. Sarah menghadapi kecederaan yang parah pada bahagian kepalanya sehingga menyebabkan dia berada dalam keadaan koma. Keluargu kerap kali juga melawatku dan melawat Sarah atas permintaanku. Selang beberapa hari, kecederaan aku kian pulih dan aku dikeluarkan dari wad pada waktu 1 petang. Destinasi pertama yang hadir dalam mindaku ialah wad yang Sarah sedang diami. Ku tuju ke wadnya dengan segera dan dengan harapan yang tinggi aku mengharapkan dia sudah menyedarkan diri tetapi sebalikknya berlaku. Keluarganya sedang melawat Sarah pada ketika itu dan mereka serta merta menyalahi diriku ini atas apa yang berlaku terhadap Sarah. Mereka memarahiku kerana lalai dan cuai ketika memandu. Tanpa aku menjawab dan melawan, aku hanya mampu mendiamkan diri dan hanya mampu mengganguk sahaja kerana aku tahu semuanya memang salahku. Keluargaku tidaklak sebegitu menyalahi aku, namun sebalikknya kelurgaku memberi nasihat kepadaku supaya lebih berhati-hati selepas kejadian yang tidak diingini ini berlaku lagi.

       Lebih kurang 3 minggu kemudian, kondisi Sarah semakin stabil dan Sarah mula menyedarkan diri dalam minggu tersebut. Selepas sahaja aku mendapat khabar baik itu, aku segera ke hospital untuk melawatnya. Ku beli buah tangan yang mampu buatkan dia tersenyum, iaitu makanan kegemarannya, buah strawberi. Sejurus aku memasukki biliknya, peraasanku pada ketika itu bercampur aduk. Aku berasa gembira dan pada yang sama aku berasa sedih. Namun, sebalikknya perasaan Sarah. Sarah tanpa berasa ragu-ragu berasa gembira kerana masih mampu melihat diriku yang kian pulih dan tidak mengalami sebarang kecederaan sampingan atas kejadian yang berlaku. Kami berborak dengan bertanyakan khabar diri masing-masing dan kami cuba untuk mengelakkan berbual tentang tragedi yang telah terjadi. Apa di minda kami hanyalah kami dapat teruskan kehidupan kami tanpa memahat memori pahit ini dalam minda kami. Namun, itu hanyalah sekadar kata-kata semangat kami untuk teruskan kehidupan kami, kejadian itu sudah pasti akan kekal terpahat di minda kami dan ianya bagai suatu pengajaran atau kisah sedih tersendiri kami. Aku mampu mengaharungi liku-liku kehidupanku namun sebalikknya berlaku kepada Sarah. Lebih kurang setahun selepas kejadian tersebut, Sarah mengalami 'post-traumatic'. Sarah trauma akan memandu atau menumpang kenderaan yang berasaskan kereta. Pada mulanya Sarah cuba beranikan dirinya untuk mengatasi traumanya, namun Sarah tidak mampu melakukan sedemikian. Sehingga kini Sarah trauma menaikki kereta selamanya. Sarah menceritakan kepadaku tentang masalahnya namun aku tak mampu melakukan apa-apa kerana bagiku masalah trauma perlu diatasi oleh pesakit dengan melakukan perkara yang menyebabkan trauma itu berlaku, namun Sarah tidaklah segagah itu. Aku hanya mampu mengharapkan Sarah pulih daripada trauma yang dihadapinya dan aku berharap aku dapat membantunya menghadapi sedemikian. Namun, segalanya berubah setelah keluargaku berpindah jauh daripada Sarah. Ayahku mendapat pekerjaan yang baharu dan perlu di tukar ke tempat baharu. Aku berkeras untuk membatalkan niat mereka untuk berpindah namun kata-kataku tidak termakan oleh mereka. Aku terpaksa berjauhan dengan Sarah dan Sarah terima atas apa yang bakal berlaku kepada hubungan kami.

       Pada hari terakhirku bersama Sarah, tanpa ribut, tanpa angin, Sarah membuat keputusan untuk memutuskan percintaan kami yang kian dibina hampir 2 tahun. Sarah mengatakan bahawa mungkin langkah itu adalah yang terbaik untuk kami berdua dan mungkin kami tidak mempunyai jodoh yang kuat. Aku tergamam buat seketika namun aku dengan rasionalnya menerima permintaannya. Apa di mindaku sebelum ini adalah, aku ingin melamarnya setelah kehidupan dan kestabilan kewangan aku stabil dewasa kelak namun segalanya berkecai setela permintaan yang mengejut oleh Sarah. Pada detik inilah, terciptanya kisah sedihku yang tidak pernah aku alami, betapa berkecai, leburnya hatiku setelah Sarah berkata demikian terhadapku. Aku cuba menahan kesakitan yang aku alami namun gagal dan aku tak mampu menahan air mata yang melinang dimataku. Aku tahu, Sarah juga turut bersedih atas apa yang telah dia lakukan malah aku berasa dia pasti mengalami kesedihan yang lebih berbandingku kerana hati wanita itu selembut kapas, jika bahagian hujungnya terkena titisan air, makan akan basahlah seluruh bahagiannya. Aku hanya mampu terima dengan rela hati dan aku cuba meneruskan kehidupanku tanpa memikirkan perkara tersebut dengan lebih lanjut. Aku menegaskan diri bangun dan mengucapkan selamat tinggal kepada Sarah. Aku juga tidak terlupa untuk berterima kasih atas segala pengorbanannya dan segala tunjuk ajarnya terhadapku, ku pinta halalkan segala makan minumku. Sarah juga melakukan perkara yang sama selepas itu.Lalu, dengan suasana yang amat dingin dan tidak tenteram, kami dengan hati yang rapuh berpisah hingga ke hari ini tanpa berhubung seperti dahulu kala. Perkara tersebut sudah jelas sekali tidak boleh dilupakan kerana itulah cinta pandang pertamaku. Aku cuba mencintai wanita lain setelah kami berpisah namun aku tak mampu mencintai wanita lain sebagaimana aku mencintai Sarah. Aku yakin bahawa dialah 'soulmate' aku yang satu dan tiada penggantinya. Dan jika benarlah dia tidak mahu menerimaku, aku sanggup hidup berseorangan tanpa pasangan seumur hidupku. Sejurus itu, Aku membuat keputusan bahawa jika jodohku masih ada dan masih berpanjangan bersama Sarah, aku berjanji kepada diriku apabila visi dan misi hidupku tercapai dewasa kelak, aku akan berusaha mencari dan mencintai Sarah kembali seperti dulu dan aku berharap aku dapat menjadikan Sarah sebagai isteriku yang satu dan menjadi suaminya yang mithali.

       Mungkin bagi orang lain, kisah ini tidaklah begitu sedih, tetapi bagiku, dialah cahaya kerianganku tatkala aku berduka, dialah tempat aku mengadu domba diketika tiada yang lain mampu meredakanku, dialah pemandu hidupku yang mendorong aku menjadi seorang insan yang berguna pada masyarakat kelak, dan yang paling peting, dialah cinta pertamaku dan cinta terakhirku. Kini, hidupku kian hari kian mendung, tiada lagi keriangan dalam diriku, tiada lagi tempat aku mengadu domba, tiada lagi insan yang mendorong hidupku untuk berjaya dan tiada lagi wanita yang mampu mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh Sarah. Aku hanya mampu mengharapkan aku dipanjangkan jodoh bersama Sarah dan kami kembali seperti dahulu kala dan dia dapat menerimaku dengan kerelaan hati serta tiada halangan yang melintang jika apabila kami bersatu.

No comments:

Post a Comment