Thursday, October 5, 2017

Pantun Sindiran 4 Rangkap (4 Kerat)

Cari baju pergi ke pekan,
Berjalan kaki perlahan-lahan,
Berkali-kali sudah dimaafkan,
Jangan lagi ulang kesalahan.

Burung merak dari kayangan,
Terbang mencari pucuk paku,
Muka cantik hanya dipaparkan,
Tetapi perangai macam hantu.

Lipat baju dalam bilik,
Sambil lipat menggaru dagu,
Apa guna pandai dan cerdik,
Jika tidak berkongsi ilmu.

Pagi pagi makan pulut,
Pergi joli hari selasa,
Kerana lidah di dalam mulut,
Badan anda akan binasa.

Sajak - Tema 'Negaraku Sehati Sejiwa'

Sehati sejiwa,
Lautan api sanggup ku renangi,
Gengam bara api sampai jadi abu,
Berpantang ajal sebelum maut,
Itulah nenek moyang kita yang sudah berkorban,
Demi anak cucu kita.

Negaraku Malaysia,
Biarpun kita tidak sama fahaman, agama, dan bangsa,
Namun, kita semenanjung Sabah dan Sarawak mengakui inilah,
Malaysia kita yang di banggakan,
Kita memerlukan diantara satu sama lain,
Kita tidak resist, kita tidak pilih kasih, kita sehati sejiwa.

Sehati sejiwa,
Janganlah kita robohkan kota kemerdekaan yang dibina selama ini,
Bersatu hatilah memacu perpaduan ekonomi negara kita,
Bersatulah kita menyatukan tenaga jangan biarkan anak si luar,
Menjajah kembali negara kita!
Cukuplah! Kita semua dijajah oleh pemikiran dan fahaman luar,
Yang kita tidak akan dapat memerdekakan ianya kembali.

Sehati sejiwa,
Akhir kata, aku berserah,
Selagi diriku mampu pertahankan negara tercintaku,
Selagi diriku mampu perjuangkan kemerdekaan yang sebenar,
Aku sanggup, membasuh minda-minda anak muda,
Supaya tahu erti kemerdekaan yang sebenar,
Dan masa hadapan Malaysia terjamin buat selamanya.

Cerpen 1 - Kisah Persahabatan

       Sahabat. Perkataan ini berbeza bagi setiap individu kerana setiap orang mempunyai definisi sahabat yang tersendiri. Ada yang menganggap sahabat sebagai teman bersusah senang bersama, ada yang menganggap sahabat sebagai orang yang boleh dipergunakan apabila dalam keadaan memaksa. Namun, lain pula bagiku. Aku tidak mendefisikan sahabat-sahabatku seperti pendapat orang lain. Bagiku, aku menganggap sahabat sebagai seorang keluargaku atau lebih jelas lagi sebagai adik beradikku. Aku tidak menganggap sahabat-sahabatku sebagai teman yang sementara, namun apa yang di mindaku ialah aku sentiasa menggambarkan mereka sebagai adik beradikku yang sedarah dan sedagingku seumur hayat dan hingga ke akhirat. Tetapi, terdapat seorang hambaNya yang tidak dapat aku terimanya sebagai sahabatku. Mungkin kerana aku terlalu mengharapkan yang lebih darinya atau dirinya yang tidak dapat diterima olehku kerana lain orang lain perwatakan diri dan cara kehidupan yang tersendiri.

       Kisahnya bermula apabila aku berumur 13 tahun pada ketika itu. Aku mengengali Razli pada hari pertama persekolahan pada tahun itu. Kami mula berkenalan pada mulanya dan kami menjadi akrab selepas itu. Kami seperti kawan karib yang lama walaupun kami baru sahaja berkenalan. Kami duduk bersebelahan, dan kami juga sekelas. Setiap hari kami mempunyai topik-topik yang menarik untuk dibincangkan bersama dan setiap hari topik perbualan kami berlainan. Segala kerja sekolah juga kami bersama selesaikan. Setiap petang kami beriadah bersama tanpa berasa jemu. Pada ketika itu, aku telah menganggap Razli seorang sahabat sehidup sematiku dan sahabat susah senangku. Begitu juga pendapat Razli. Sahabat-sahabatku yang lain aku layan seperti biasa tetapi Razli aku layankan istimewa seperti perkara-perkara yang sulit aku ceritakan kepadanya dan begitu juga Razli. Kami kongsi masalah kami bersama dan selesaikannya bersama. Persahabatan kami pada ketika itu tiada sebarang batasan kerana kami tonjolkan diri kami sepenuhnya dan kami terima perangai dan ragam masing-masing.

       Namun, segalanya berubah apabila tibanya orang ketiga. Ketika kami berumur 14 tahun, seorang pelajar baharu berpindah kesekolah kami dan dimasukkan ke kelas kami. Hareez duduk di belakang meja kami dan kami berkenalan dan tak lama kemudian kami menjadi akrab dengannya. Segala aktiviti aku dan Razli, Hareez dapat terima dengan setulius hatinya dan kami juga dapat terima Hareez sepenuh hati kami. Kian hari kami bertiga kian rapat dan semakin rancak persahabatan kami sehinggakan kami dicemburui orang lain yang mahukan persahabatan yang akrab seperti kami. Namun, persepsi itu tidak lagi menjadi tumpuan orang lain apabila berlakunya perkara yang tidak dapat dielakkan oleh kami. Pada hari biasa yang aman dan damai di dalam kelas, sedang rancak aku berborak dengan rakanku Huzai, Razli dengan secara tiba-tiba menolak diriku dan terus memaki hamunku tanpa sebarang sebab munasabah. Katanya, aku adalah seorang talam dua muka kerana aku bercerita buruk tentangnya pada orang lain. Aku tergamam seketika begitu juga Huzai. Seumur hidupku, aku tidak pernah memburukkan orang lain apatah lagi bercerita buruk di belakang sahabat-sahabatku. Aku dengan tegasnya menafikan tuduhan Razli kerana sejujurnya aku tidak pernah sesekali bercerita buruk tentangnya pada orang lain. Tambahan pula, segala rahsianya ku simpan rapi dalam diriku agar tidak dicerobohi oleh orang lain. Razli kemudiannya mengeluarkan perkataan yang mampu melukakan hati seorang sahabat. Razli tergamak mengeluarkan perkataan 'kita bukan kawan lagi!' terhadapku. Razli terus beredar tanpa sebarang kata-kata dan aku terduduk memikirkan dimanakah salahku.

       Sejurus kejadian itu berlaku, aku segera mencari Hareez dan memberitahunya tentang perkara itu. Hareez juga tidak menyangka bahawa sanggup Razli melakukan demikian terhadapku. Hareez memujuk hatiku agar bersabar atas apa yang telah berjadi. Hareez betul-betul tidak sangka bahawa Razli sanggup melakukan demikian. Selang beberapa hari kemudian, Razli kini berseorangan dan tidak mempunyai kawan karib yang baharu setelah dia membuang aku dari hidupnya. Kini aku dan Hareez sahaja yang tinggal dalam persahabatan ini dan kami tidak menjadikan tindakan Razli yang terburu-buru itu sebagai halangan kami untuk terus berkawan seperti biasa. Kami berdua sering melihat Razli mencuri-curi pandang dengan keakraban kami berdua dan kami bagaikan tidak berasa bersalah dengannya. Hareez juga kelihatan lain daripada hari hari yang sebelumnya, kerana aku tidak pernah melihat Hareez begitu menonjol diri sebenarnya sebelum ini. Aku tidak mengendahkan pertukaran perwatakannya kerana ianya tidak mendatangkan sebab-sebab yang tidak diingini bakal berlaku kepadaku. Tetapi, lama kelamaan, persahabatan kami menjadi renggang hari demi hari. Ianya membuatkan aku kurang selesa dengan persahabatan ini. Mungkin kerana tiada yang mengisi ruang kekosongan yang sebelum ini penuh tanpa rasa jemu. Segala perbualan antara aku dan Hareez adalah topik bualan yang sama hampir setiap hari dan aku makin jemu dengan topik-topik yang sering dibangkitkan. Kerja-kerja sekolah kami diselesaikan sendiri tanpa berbincang bersama. Aku mula berasa rindu pada persahabatan kami yang lalu, persahabatan yang cukup sempurna bagiku. Pada waktu malam yang dingin, aku secara tiba-tiba terfikir sedetik, aku terfikir bahawa aku merasakan sesuatu yang tidak kena dengan kejadian Razli dan aku tempoh hari. Aku merasakan bahawa perselisihan faham antara aku dan Razli mungkin boleh diselesaikan dengan cara baik. Mungkin aku yang patut menjelaskan secara terperinci dan lemah lembut diketika kejadian itu berlaku.

       Keesokkan harinya, aku memberanikan diri untuk bersemuka dengan Razli sejurus sebelum waktu pertama pada pagi persekolahan tersebut. Ayat pertama yang keluar dari mulutku adalah permohonan maafku terhadapnya atas kelakuanku dan tindakkanku pada kejadian lalu. Razli pada mulanya tidak mengendahkan permohonan maafku, namun setelah aku memenceritakan perkara yang sebenar secara terperinci dan secara lemah lembut, Razli mula menunjukkan minatnya atas perbualanku. Dia mula bercakap denganku tentang mengapa aku tidak berkata sedemikian pada ketika itu dan seterusnya dia memaafkanku dan Razli juga meminta maaf kepadaku atas tindakkannya yang terburu-buru menuduh melulu terhadapku. Hubungan kami kian pulih dan kami bertiga kembali seperti biasa. Namun, gerak hatiku masih memikirkan tentang kejadian yang tanpa angin tanpa ribut itu berlaku. Aku mula menyiasat perkara itu selanjutnya dengan dimulakan bertanya pada Razli bahawa bagaimana dia boleh mendapat berita yang sedemikian. Razli menjawab bahawa dia mendapat khabar angin tersebut melalui gosip-gosip yang telah dihebahkan satu sekolah dan orang yang memberitahu kepadanya ialah Aisyah. Sejurus dengan itu, Aku merujuk Aisyah untuk mendapatkan informasi lanjut. Aku mula menujukan pertanyaanku kepada Aisyah dengan khabar angin yang telah disebarkan olehnya. Aku menceritakan hal yang sebenar dan Aisyah serta merta memohon maaf terhadapku dan mengirimkan maafnya kepada Razli. Apa yang Aisyah sampaikan lagi kepadaku sangat mengejutkan diriku, iaitu dia telah menerima khabar angin itu dari Hareez. Aku tergamam sebentar. Dalam pemikiranku, apakah kaitan Hareez dalam kisah yang tidak masuk akal ini? Apakah motif Hareez melakukan sedemikian? Dengan rasionalnya, aku tidak bertindak secara terburu-buru dan aku menceritakan berita ini kepada Razli.

       Razli juga turut terkejut menerima informasi yang sangat luar pemikiran manusia. Dia juga menujukan persoalan yang sama seperti persoalan yang aku tertanya-tanya. Kami mula memikirkan sesuatu cara untuk memastikan perkara ini sahih dan akhirnya kami temu dengan satu cara yang mampu membuktikan kesahihan berita ini. Jika betullah Hareez adalah dalang pada kejadian lalu, maka betulah Hareez pasti ada motif yang kurang baik terhadap hubungan kami. Dan jika berita ini tidak sahih, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan cerita Aisyah dan Aisyah berkemungkinan besar menjadi saspek kami seterusnya. Pada keesokkan harinya, aku dan Razli menjalani rutin harian kami seperti biasa bersama-sama Hareez. Kami cuba selindung tentang berita yang kami terima daripada Hareez. Pada waktu rehat, kami mulakan operasi mensahihkan kebenaran berita daripada Aisyah. Kami memulakan operasi tersebut dengan secara licik dan halus, kami dengan sengaja membawa Hareez ke tempat kejadian, iaitu di tempat di mana aku dan Hareez berkelahi. Kami mula berborak tentang perkara itu dan lama kelamaan, Hareez kelihatan kurang tenang dengan perbualan kami dan mengajak untuk beredar dari situ. Dengan segera, kami mula tujukan pertanyaan yang sangat rawak dan juga agak memerangkap jika dia mudah untuk 'terjerat' dengan pertanyaan tersebut. Pertanyaan yang ditujukan kepada Hareez berbunyi "Hareez, kau rasa apa punca khabar angin kejadian yang lalu itu?". Jawabnya, "Entahlah, mungkin ada yang cemburu dengan keakraban kamu berdua?". Ulasnya lagi, "Dahlah kamu berdua, tak usah fikirkan perkara yang sudah terjadi, apa yang lepas biarkan ia lepas, jadikan ia sebagai suatu pengajaran.". Aku dan Razli mula mengesyakki sesuatu yang tidak sepadan. Hareez kelihatan begitu cemas ketika aku tujukan pertanyaan tersebut dan tidak menahan sabar untuk beredar dengan segera serta menukar topik bualan tanpa segan silu. Kemudian, Razli menujukan pertanyaan 'maut' yang mampu membuatkan Hareez mengaku jika dia betul-betul bersalah dalam kejadian lalu. Pertanyaannya berbunyi "Hareez, kau ada dengar khabar angin baharu tak? aku dengar bahawa kaulah yang menyebarkan khabar angin tersebut kepada khalayak pelajar-pelajar di sekolah kita.". Pada waktu itu, sunyi sepi keadaan di situ buat sementara. Hareez kelihatan gugup untuk menjawab pertanyaan Razli dan Hareez cuba untuk menepis pertanyaan tersebut dengan menukar topik bualan yang lain tetapi gagal atas sebab kami tidak membenarkan dia membuat sedemikian. Aku dan Razli memaksa Hareez untuk jawab sejujurnya dan akhirnya, kata-kata yang keluar dari mulutnya tidak boleh kami terima, kerana betulah dia menjadi dalang menyebarkan berita palsu tersebut. Dia menyambung lagi bahawa dia mencemburui keakraban kami pada waktu kemasukkannya ke sekolah dan dia berhasrat untuk merosakkan hubungan kami pada hari pertama lagi. Tambahnya pula, dia memang tidak suka melihat persahabatan yang sungguh akrab didepan matanya kerana ianya mengungkit kembali kisah silamnya. Alangkah kecewanya kami di ketika itu, tanpa kami membuat sebarang tindakan yang mampu mendatangkan sebarang kejadian yang tidak diingini, aku dan Razli terpaksa mengeluarkan perkataan yang pernah Razli keluarkan kepadaku di waktu kejadian lalu berlaku. Secara terus terang, kami berkata "Kau bukan lagi kawan kami.". Kami beredar dari ditu dan kami membiarkan Hareez berseorangan disitu, mengenang perkara buruk yang telah dia lakukan.


       Setelah beberapa minggu telah berlalu, persahabatan aku dan Razli adalah akrab seperti biasa dan sedetik pun tidak kami pedulikan tentang Hareez. Kami sering melihat dia keseorangan dan tiada yang mahu rapat dengannya setelah berita sebenar tentang kejadian antara aku dan Razli tersebar meluas di sekolahku. Aku juga menerima berita tentang Hareez ketika di sekolah lamanya oleh Aisyah yang turut selidik lebih lanjut tentang Hareez. Khabarnya bahawa Hareez melakukan perkara yang sama dengan rakannya di sekolah lamanya. Aku berasa tidak hairan mendengar perkara tersebut selepas apa yang menimpa aku dan Razli. Dengan apa yang berlaku, cukuplah kami menyimpulkannya dan membuatkannya sebagai pengajaran kepada kami agar tidak akan mencemburui perkara yang bukan milik dan hak kita untuk dicemburui. Kita seharusnya terima dengan apa yang kita miliki. Cukuplah aku mempunyai sahabat karib seperti Razli yang cukup memahamiku dan aku juga memahaminya. Jelaslah, bahawa erti sahabat itu berbeza dikalangan manusia. Ada yang ikhlas dalam persahabatan, ada yang mempergunakan persahabatan mereka demi kepentingan sendiri, namun, yang paling teruk, ada yang sanggup merosakkan persahabatan orang lain secara licik tanpa sebab yang munasabah.

Cerpen 2 - Kisah Sedihku

       Setiap jasad yang bernyawa di muka bumi ini pasti ada coretan hidup tersendiri dan aku tidak terkecuali. Ada yang cerita hidupnya bahagia, dan ada yang cerita hidupnya dalam kecelaruan. Namun, kisah sedih sudah pasti menjadi pengalaman untuk setiap individu termasuk diriku. Sedang aku meneruskan dan menyusun atur kehidupanku, kisah silamku yang pahit masih lagi terpahat dalam diriku ini masih segar dalam ingatan walaupun hampir berlaku 3 tahun yang lalu.

       Kisahnya bermula apabila aku pada ketika itu berumur 17 tahun dan masih mentah untuk melangkah masuk ke alam kesedihan. Pada mulanya, hidupku berjalan seperti biasa dan aku menjalani rutin harian yang hampir sama setiap hari. Sehinggalah tiba detik-detik yang mampu mengubah rutin kehidupanku seumur hidup. Di sekolah, aku seorang yang agak disenangi oleh pelajar-pelajar dan tidak terkecuali juga di kalangan guru-guru. Aku seorang yang peramah, rajin, bijak berbicara dan seorang yang berdisiplin. Pencapaian akedemik dan kokurikulumku seimbang dan memberansangkan. Aku bukanlah seorang yang cerdik, konsisten dan aktif dalam bidang sukan namun aku cuba mengimbang kedua-dua akedemik dan kokurikulum. Setiap kali ujian dan peperiksaan, aku cuba mendapatkan keputusan yang cemerlang dan setiap kali aktiviti dan anjuran kokurikulum aku sertai. Namun, segalanya berubah serta merta apabila aku mula meminati pada seorang gadis yang sangat manis dan menawan bernama Sarah. Pada mulanya, aku dan Sarah hanya berkawan biasa ketika kami membuat perbincangan berkumpulan namun lama kelamaannya kami mulai rapat dan cinta kami berputik. Kami sering berhubung di sekolah mahupun di rumah masing-masing. Namun, percintaan aku dan Sarah masih lagi berpegang pada batasan-batasan yang dilarang oleh agama. Kami tidak pernah berdua-duaan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya dan kami tidak pernah bersentuhan. Malah, perbualan kami seperti biasa, tiada ayat-ayat yang menggugat iman digunakan dan tiada nama panggilan yang manis seperti pasangan-pasangan lain gunakan. Percintaan kami diibaratkan seperti pasangan yang bukan dalam percintaan. Kami bertutur seperti rakan biasa dan memanggil diri masing-masing hanya menggunakan perkataan 'kau, aku'. Bagiku dan baginya, percintaan kami sangat sempurna dan kami dapat menonjolkan diri kami yang sepenuhnya, bukan seperti pasangan-pasangan yang lain yang bercinta atas dasar-dasar kepentingan masing-masing dan sanggup menyelindungi potensi diri masing-masing dengan bertopengkan kata-kata manis dan tingkah laku yang kononnya romantis.

       Tetapi, lebih kurang 4 bulan kami bercinta, prestasi akedemik dan kokurikulum kian merosot hari demi hari. Begitu juga Sarah. Prestasi kami mula dibimbangi oleh guru-guru kelas kami dan kami berdua dipanggil oleh pihak kaunseling atas aduan yang ditujukan kepada mereka. Pihak kaunseling menceritakan kepada kami tentang kemerosotan pencapaian kami dibimbangi okeh guru-guru kerana tidak lama lagi kami akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka memberi khidmat kaunseling kepada kami dengan baik sekali. Mereka tidak menyalahi percintaan kami, kerana kami menceritakan kepada mereka bagaimana percintaan kami sebenarnya. Mereka hanya memberi langkah-langkah yang terbaik untuk mengimbangkan antara percintaan kami dengan pelajaran. Kami akur dengan langkah yang diberi dan prestasi kami mula meningkat kembali dan agak konsisten. Pencapaian Percubaan SPM kami sangat memberansangkan sehinggakan kami menjadi salah satu pelajar harapan sekolah untuk memberi pencapaian cemerlang semasa menduduki SPM kelak. Kami kurang berhubung selepas itu atas sebab memberi tumpuan yang penuh pada pelajaran. Kami mencuba sedaya upaya pada hari pertama peperiksaan sehingga hari terakhir. Setelah habis sahaja kertas peperiksaan yang terakhir, kami mula berasa bebas juga diikuti oleh rakan-rakan seperjuangan yang lain. Kami semua meraikan hari tersebut dengan menjamu selera di Pizza Hut berdekatan. Hari tersebut bagaikan hari terakhir kami tersiksa dalam seumur hidup kami, walhal, tanpa disedari ianya hanya permulaan kehidupan yang sebenar.

       Aku mula bekerja di Pusat Beli-Belah berdekatan di kawasan perumahanku. Sarah juga bekerja di tempat yang sama tetapi berlaian syarikat. Setiap kali kami mempunyai waktu rehat yang sama, kami akan berehat bersama. Waktu pulang juga, aku sering menghantar Sarah pulang ke rumahnya setiap hari dengan menggunakan keretaku yang diberi oleh ibuku untuk sementara. Kami mengulangi rutin yang sama setiap hari yang pada mulanya kami mengeluh akan kepenatan dan kesengsaraan bekerja yang tidak pernah kami alami sebelum ini dan lama kelamaan ianya bagai alah bisa tegal biasa. Ianya menjadi sesuatu yang normal bagi kami dan kami tidak merungut lagi.

       Namun, di sinilah bermulanya detik hitam yang sangat pahit dalam hidupku berlaku. Pada hari biasa yang kami sering hadapi, ketika aku hendak menghantar Sarah pulang, mataku mula berasa berat dengan serta merta. Mungkin aku menghadapi kepenatan yang lebih berbanding hari-hari yang lain yang menyebabkan badanku sangat lemah di ketika itu. Aku mula memberitahu Sarah tentang perkara itu dan Sarah menyuruh aku menghentikan kereta di tepi sebentar untuk berehat, namun, aku berkeras untuk meneruskan perjalanan menghantarnya pulang. Apakan daya, malang tidak berbau pada malam itu. Sedang dalam perjalanan menghantar Sarah pulang, badanku bagai tidak bermaya lagi, dengan serta merta, badanku rebah dan aku hilang konsentrasi dan akhirnya aku pitam tanpa ku pinta. Keretaku terhuyung-hayang dan melanggar masuk ke jalan sebelah membuatkan keretaku melanggar kereta yang bertentangan dengan keretaku. Keretaku berpusing bagai gasing dan menghentam pembahagi jalan konkrit sehinggakan memberi hentakan yang kuat terutama sekali pada bahagia kerusi penumpang hadapan. Aku yang tidak menyedarkan diri mula mendapatkan kembali visi yang samar-samar apabila mataku betul-betul bertentangan dengan Sarah yang berlumuran darah di kepalanya dan tidak menyedarkan diri. Aku mencuba sedaya upayaku untuk menghampiri Sarah namun aku tidak sekuat yang aku sangkakan. Aku kembali rebah dan kami dikejarkan ke hospital berdekatan atas tindakan orang ramai yang menjadi saksi kemalangan kami dan membuat panggilan kecemasan dengan segera.

       Keadaanku tidak begitu kritikal namun sebalikknya berlaku terhadap Sarah. Sarah dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi atau dikenali sebagai wad ICU. Sarah menghadapi kecederaan yang parah pada bahagian kepalanya sehingga menyebabkan dia berada dalam keadaan koma. Keluargu kerap kali juga melawatku dan melawat Sarah atas permintaanku. Selang beberapa hari, kecederaan aku kian pulih dan aku dikeluarkan dari wad pada waktu 1 petang. Destinasi pertama yang hadir dalam mindaku ialah wad yang Sarah sedang diami. Ku tuju ke wadnya dengan segera dan dengan harapan yang tinggi aku mengharapkan dia sudah menyedarkan diri tetapi sebalikknya berlaku. Keluarganya sedang melawat Sarah pada ketika itu dan mereka serta merta menyalahi diriku ini atas apa yang berlaku terhadap Sarah. Mereka memarahiku kerana lalai dan cuai ketika memandu. Tanpa aku menjawab dan melawan, aku hanya mampu mendiamkan diri dan hanya mampu mengganguk sahaja kerana aku tahu semuanya memang salahku. Keluargaku tidaklak sebegitu menyalahi aku, namun sebalikknya kelurgaku memberi nasihat kepadaku supaya lebih berhati-hati selepas kejadian yang tidak diingini ini berlaku lagi.

       Lebih kurang 3 minggu kemudian, kondisi Sarah semakin stabil dan Sarah mula menyedarkan diri dalam minggu tersebut. Selepas sahaja aku mendapat khabar baik itu, aku segera ke hospital untuk melawatnya. Ku beli buah tangan yang mampu buatkan dia tersenyum, iaitu makanan kegemarannya, buah strawberi. Sejurus aku memasukki biliknya, peraasanku pada ketika itu bercampur aduk. Aku berasa gembira dan pada yang sama aku berasa sedih. Namun, sebalikknya perasaan Sarah. Sarah tanpa berasa ragu-ragu berasa gembira kerana masih mampu melihat diriku yang kian pulih dan tidak mengalami sebarang kecederaan sampingan atas kejadian yang berlaku. Kami berborak dengan bertanyakan khabar diri masing-masing dan kami cuba untuk mengelakkan berbual tentang tragedi yang telah terjadi. Apa di minda kami hanyalah kami dapat teruskan kehidupan kami tanpa memahat memori pahit ini dalam minda kami. Namun, itu hanyalah sekadar kata-kata semangat kami untuk teruskan kehidupan kami, kejadian itu sudah pasti akan kekal terpahat di minda kami dan ianya bagai suatu pengajaran atau kisah sedih tersendiri kami. Aku mampu mengaharungi liku-liku kehidupanku namun sebalikknya berlaku kepada Sarah. Lebih kurang setahun selepas kejadian tersebut, Sarah mengalami 'post-traumatic'. Sarah trauma akan memandu atau menumpang kenderaan yang berasaskan kereta. Pada mulanya Sarah cuba beranikan dirinya untuk mengatasi traumanya, namun Sarah tidak mampu melakukan sedemikian. Sehingga kini Sarah trauma menaikki kereta selamanya. Sarah menceritakan kepadaku tentang masalahnya namun aku tak mampu melakukan apa-apa kerana bagiku masalah trauma perlu diatasi oleh pesakit dengan melakukan perkara yang menyebabkan trauma itu berlaku, namun Sarah tidaklah segagah itu. Aku hanya mampu mengharapkan Sarah pulih daripada trauma yang dihadapinya dan aku berharap aku dapat membantunya menghadapi sedemikian. Namun, segalanya berubah setelah keluargaku berpindah jauh daripada Sarah. Ayahku mendapat pekerjaan yang baharu dan perlu di tukar ke tempat baharu. Aku berkeras untuk membatalkan niat mereka untuk berpindah namun kata-kataku tidak termakan oleh mereka. Aku terpaksa berjauhan dengan Sarah dan Sarah terima atas apa yang bakal berlaku kepada hubungan kami.

       Pada hari terakhirku bersama Sarah, tanpa ribut, tanpa angin, Sarah membuat keputusan untuk memutuskan percintaan kami yang kian dibina hampir 2 tahun. Sarah mengatakan bahawa mungkin langkah itu adalah yang terbaik untuk kami berdua dan mungkin kami tidak mempunyai jodoh yang kuat. Aku tergamam buat seketika namun aku dengan rasionalnya menerima permintaannya. Apa di mindaku sebelum ini adalah, aku ingin melamarnya setelah kehidupan dan kestabilan kewangan aku stabil dewasa kelak namun segalanya berkecai setela permintaan yang mengejut oleh Sarah. Pada detik inilah, terciptanya kisah sedihku yang tidak pernah aku alami, betapa berkecai, leburnya hatiku setelah Sarah berkata demikian terhadapku. Aku cuba menahan kesakitan yang aku alami namun gagal dan aku tak mampu menahan air mata yang melinang dimataku. Aku tahu, Sarah juga turut bersedih atas apa yang telah dia lakukan malah aku berasa dia pasti mengalami kesedihan yang lebih berbandingku kerana hati wanita itu selembut kapas, jika bahagian hujungnya terkena titisan air, makan akan basahlah seluruh bahagiannya. Aku hanya mampu terima dengan rela hati dan aku cuba meneruskan kehidupanku tanpa memikirkan perkara tersebut dengan lebih lanjut. Aku menegaskan diri bangun dan mengucapkan selamat tinggal kepada Sarah. Aku juga tidak terlupa untuk berterima kasih atas segala pengorbanannya dan segala tunjuk ajarnya terhadapku, ku pinta halalkan segala makan minumku. Sarah juga melakukan perkara yang sama selepas itu.Lalu, dengan suasana yang amat dingin dan tidak tenteram, kami dengan hati yang rapuh berpisah hingga ke hari ini tanpa berhubung seperti dahulu kala. Perkara tersebut sudah jelas sekali tidak boleh dilupakan kerana itulah cinta pandang pertamaku. Aku cuba mencintai wanita lain setelah kami berpisah namun aku tak mampu mencintai wanita lain sebagaimana aku mencintai Sarah. Aku yakin bahawa dialah 'soulmate' aku yang satu dan tiada penggantinya. Dan jika benarlah dia tidak mahu menerimaku, aku sanggup hidup berseorangan tanpa pasangan seumur hidupku. Sejurus itu, Aku membuat keputusan bahawa jika jodohku masih ada dan masih berpanjangan bersama Sarah, aku berjanji kepada diriku apabila visi dan misi hidupku tercapai dewasa kelak, aku akan berusaha mencari dan mencintai Sarah kembali seperti dulu dan aku berharap aku dapat menjadikan Sarah sebagai isteriku yang satu dan menjadi suaminya yang mithali.

       Mungkin bagi orang lain, kisah ini tidaklah begitu sedih, tetapi bagiku, dialah cahaya kerianganku tatkala aku berduka, dialah tempat aku mengadu domba diketika tiada yang lain mampu meredakanku, dialah pemandu hidupku yang mendorong aku menjadi seorang insan yang berguna pada masyarakat kelak, dan yang paling peting, dialah cinta pertamaku dan cinta terakhirku. Kini, hidupku kian hari kian mendung, tiada lagi keriangan dalam diriku, tiada lagi tempat aku mengadu domba, tiada lagi insan yang mendorong hidupku untuk berjaya dan tiada lagi wanita yang mampu mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh Sarah. Aku hanya mampu mengharapkan aku dipanjangkan jodoh bersama Sarah dan kami kembali seperti dahulu kala dan dia dapat menerimaku dengan kerelaan hati serta tiada halangan yang melintang jika apabila kami bersatu.